BAB 14: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Menurut Haji Samsudin bin Md Noor, pengurusan bermaksud satu proses untuk mendapatkan penyertaan, kerjasama dari semua ahli dalam mencapai matlamat kumpulan. Sememangnya, guru memainkan peranan yang penting di dalam bilik darjah selain mengajar iaitu sebagai pengurus. Guru adalah orang yang paling bertanggungjawab untuk mengurus rutin bilik darjah. Selain itu, guru haruslah mengurus pelajar supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas. Di samping itu, guru juga haruslah mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif dan sebagainya. Jika semua perkara ini dapat diurus dengan baik maka semua akan berjalan dengan baik dan lancar.
Seoran guru perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki kelas. Elemen penting yang perlu disediakan sebelum memasuki kelas ialah penelitian dalam perancangan, pelaksanaan, penyeliaan, penilaian dan refleksi. Guru juga perlu merancang kurikulum, sukatan, huraian sukatan, buku teks, bahan rujukan tambahan dan maklumat tambahan daripada pelbagai sumber termasuk laman web. Guru perlu bersedia dengan bahan bantu mengajar dan mengutamakan aspek yang melibatkan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran supaya kelas tidak menjadi bosan dan kaku diikuti dengan perancangan kemajuan pelajar, merangka rancangan kerja tahunan, termasuk ujian penilaian dan pentaksiran.
Aktiviti pembelajaran perlu dikendalikan dalam suasana yang kondusif. Antara cara mewujudkan suasana yang kondusif dalam kelas ialah dengan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik. Kemahiran tertentu boleh diterapkan dengan lebih mudah dan berkesan. Guru juga dapat memberikan motivasi yang berkesan kepada para pelajar dan menanam nilai murni dalam diri pelajar.
Selain itu, proses pembelajaran yang lebih menyeronokkan dapat membantu para pelajar memberi tumpuan dan memahami pelajaran dalam kelas. Teknik pembelajaran yang menyeronokkan perlu diaplikasikan di sekolah seperti dengan menggunakan alat bantuan mengajar yang menarik. Aktiviti secara berkumpulan juga dapat memberikan peluang kepada pelajar memberi pendapat dan pandangan. Kaedah yang boleh digunakan supaya pelajar lebih mudah ingat pula ialah dengan menggunakan kaedah akronim. Guru juga bleh menyuruh pelajar ke hadapan untuk menyelesaikan masalah di papan putih supaya mereka lebih berani. Akhir sekali, guru juga boleh menggunakan video dan pembelajaran yang menggunakan teknologi seperti Kahoot supaya guru seiring dengan peredaran semasa.
Secara kesimpulannya, pengurusan alam pembelajaran ini sangat penting kepada para pelajar bagi memudahkan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran dan lebih memahami apa yang mereka pelajari. Selain itu, proses pemindahan maklumat juga dapat berjalan dengan lancar apabila tiada gangguan dan pelajar akan dapat lebih fokus kepada sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlu menguasai beberapa kemahiran lain dan teknik yang bersesuaian sebelum memasuki kelas bagi memastikan para pelajar dapat menerima ilmu pengetahuan dengan teknik yang mudah dan berkesan. Guru perlu ingat bahawa tidak semua pelajar mempunyai tahap perkembangan yang sama.
Comments
Post a Comment